Selasa, 13 Julai 2010

MEMBACA AL-QURAN KEPADA MAYAT

Apakah hukum membaca al-quran kepada si mati diperkuburan ? Adakah sampai pahala bacaan itu kepadanya ?

Jawapan :

Ulama telah sepakat mengatakan bahawa membaca al-quran kepada si mati tidaklah haram dan orang yang melakukannya tidaklah berdosa. Jumhur ulama dari kalangan mazhab Hanafi,Imam Syafi`i dan Imam Hanbali bersepakat mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah sunat. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik secara marfu` , sabda Rasulullah SAW :

Sesiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca surah Yassin , nescaya diringankan azab ahli kubur pada hari tersebut dan diberikan kebaikkan yang banyak mengikut bilangan ahli kubur kepada pembaca itu.
{Diriwayatkan oleh Sohibul Khilal dengan sanad beliau,telah disebutkan demikian itu oleh Ibnu Quddamah dalam al-Mughni ,juz 2 m/s 225. Juga disebutkan oleh pengarang Tuhfah al-Ahwazi,juz 3 m/s 275}

Terdapat riwayat yang sahih daripada Ibnu Umar R.A. bahawa beliau telah berwasiat ,apabila beliau ditanam setelah meninggal dunia, beliau meminta supaya dibacakan permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya.

Salah seorang ulama Mazhab Maliki yang terkenal Iaitu Syeikh ad-Dardir berkata : "Ulama-Ulama mutaakhir berpendapat bahawa tidak mengapa membaca al-quran , berzikir dan menghadiahkan pahalanya untuk si mati dan akan terhasil pahala - Insya Allah".

Perselisihan tentang permasalahan ini adalah dhaif (lemah ) dan mazhab yang mengatakan sunat membaca al-quran dan mengharuskannya itu merupakan pendapat yang paling kuat dan kukuh . sehingga setengah ulama mengatakan bahawa masalah ini adalah masalah ijma` ( yang sudah disepakati)dan mereka berterus terang tentang ijma` ini . Diantara ulama tersebut ialah Imam Ibnu Quddamah al-Maqdisi al-Hanbali , beliau berkata :" Mana-mana kebaikkan yang dilakukan dan dijadikan pahalanya untuk si mati yang muslim ,sudah tentu memberi manafaat , insya Allah "
Sehinggalah beliau berkata :" Kata setengah Ulama : apabila dibacakan al-quran di sisi mayat atau dihadiahkan pahala kepadanya - maka pahala itu adalah milik si pembacanya dan mayat itu seolah-olah hadir ketika pembacaan itu , maka diharapkan rahmat untuknya ."

Dan inilah pendapat kami dan perkara ini telah menjadi ijma` seluruh umat Islam. Mereka (umat Islam) pada setiap zaman dan tempat berhimpun serta membaca al-quran serta menghadiahkan pahalanya kepada orang-orang yang telah mati dari kalangan mereka tanpa diingkari lagi .
{Al-Mughni oleh Ibnu Quddamah Al-Maqdisi,juz2 m/s 225 }

Ijma` ini juga telah dinaqalkan oleh Syeikh al-Usmani , perkataan beliau adalah seperti berikut :
" Ulama telah berijma` bahawa istighfar , doa , sedekah , haji dan memerdekakan hamba itu dapat memberi manfaat kepada si mati dan sampai pahala amalan-amalan tersebut kepadanya dan membaca al-quran diperkuburan itu adalah sunat."
{Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah oleh Syeikh Al-Usmani }


Para Ulama telah menashkan bahawa sampai pahala bacaan al-quran ,zikir dan sebagainya itu kepada si mati. Mereka mengambil hukum ini daripada keharusan seseorang mengerjakan haji untuk si mati dan sampai pahala haji tersebut kepadanya. Ini adalah kerana ibadat haji meliputi ibadah solat.Solat pula dibacakan padanya surah al-Fatihah dan surah-surah lain. Dan apa yang sampai kesemuanya, sudah tentu sampai setengahnya. Oleh itu pahala bacaan tersebut sampai kepada si mati dengan izin Allah . Khususnya apabila si pembaca itu berniat untuk menghadiahkan pahala itu kepada si mati.

Berdasarkan kepada apa yang telah diterangkan di atas , sesungguhnya majoriti ulama menaqalkan bahawa permasalahan ini telah menjadi ijma`(kesepakatan) di atas keharusan membaca al-quran dan sebagainya kepada si mati .

Adapun menghadiahkan pahala kepada simati itu , adakah sampai ataupun tidak ?

Jumhur ulama mengatakan pahala itu sampai kepada si mati . Ulama mazhab Syafi`i berpendapat bahawa sampai pahala bacaan itu seperti juga berdoa . Contohnya seseorang pembaca itu berdoa :

" Ya Allah ! Jadikanlah seumpama bacaan yang ku baca itu kepada si fulan .
Bukannya menghadiahkan amalan tersebut (tetapi menghadiahkan seumpama pahala amalan tersebut )

Perbezaan tersebut amatlah sedikit , dan tidaklah sepatutnya dijadikan pertelingkahan di dalam masalah ini ( kerana ia telah di ijma` oleh ulama ) .
والله اعلم



Tiada ulasan:

Catat Ulasan