Rabu, 4 April 2012

Destinasi Lawatan Umrah 2012-Perkuburan Baqi

Mungkin tidak berlebihan jika mengatakan bahawa Perkuburan Baqi’ adalah perkuburan paling mulia di antara kesemua perkuburan di dunia. Di Perkuburan Baqi’ ini menempatkan 10,000 jenazah termasuk para Ahlul Bait iaitu isteri-isteri dan anak-anak Rasulullah saw, para sahabat dan para tabien. Perkuburan ini tidak pernah sunyi daripada dikunjungi oleh para pengunjung yang melaksanakan ibadah umrah. Rata-rata mereka ingin menikmati rasa cinta kepada para sahabat dan tabien yang telah banyak berkorban kepada perkembangan Islam. Berkenaan dengan kelebihan perkuburan Baqi’, Rasulullah saw pernah bersabda,

“Aku adalah orang pertama yang keluar daripada Bumi(ketika hari kebangkitan), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian giliran penghuni Baqi’ yang akan berhimpun bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Mekah sehingga penuh di antara dua Masjidil Haram”.



Sejarah Perkuburan Baqi’

Perkuburan Baqi’ terletak di tenggara Masjid Nabawi di Madinah. Di satu sudut di Masjid Nabawi terdapatnya kubur junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Perkuburan Baqi’ juga dikenali dengan Jannatul Baqi’ atau Taman Syurga. Perkuburan Baqi’ juga mempunyai gelaran lain iaitu Baqi’ul Qarqad atau Taman Qarqad.

Gelaran Baqi’ul Qarqad diberikan kepada perkuburan Baqi kerana sebelum tanah tersebut digunakan sebagai wakaf perkuburan Baqi’, tanah tersebut telah dipenuhi dengan pohon Qarqad. Pohon Qarqad adalah sejenis pohon renek yang berduri. Ia mampu hidup subur di iklim sederhana dan subtropika. Kepada yang tidak mengetahui apakah itu pohon Qarqad ini, Rasulullah saw pernah bersabda,

“Tidaklah akan berlakunya kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, “Hai orang Islam, inilah orang Yahudi di belakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah ia!” kecuali pohon Qarqad, kerana sesungguhnya pohon ini adalah dari pohon Yahudi”

Jenazah pertama yang disemadikan di Perkuburan Baqi’ adalah seorang sahabat Rasulullah saw daripada golongan Ansar iaitu Asa’ad bin Zararah. Oleh yang demikian, Asa’ad bin Zararah tercatat sebagai sahabat Rasulullah saw pertama yang disemadi di Perkuburan Baqi daripada golongan Ansar. Manakala, jenazah pertama yang disemadikan di Perkuburan Baqi’ daripada golongan Muhajirrin adalah Uthman bin Mahzun. Ahlul Bait pertama disemadikan di perkuburan mulia ini adalah anak perempuan Rasulullah saw, Ruqayyah bin Muhammad saw.

Perluasan pertama yang dilakukan terhadap Perkuburan Baqi’ adalah pada zaman pemerintahan Muawiyyah bin Abi Sufian. Beliau telah membeli beberapa ladang yang berhampiran dengan Perkuburan Baqi’ untuk dijadikan wakaf perkuburan.

Kemudian Muawiyyah telah membina kubah di atas kubur Saidina Uthman bin Affan yang juga merupakan warisnya. Kubur Saidina Uthman bin Affan adalah kubur pertama yang dibina kubah di Perkuburan Baqi. Selepas daripada pembinaan kubah di kubur Saidina Uthman bin Affan, banyak lagi kubah telah dibina untuk para sahabat dan tabien yang mashyur oleh para khalifah Islam yang bersilih ganti.



Pemusnahan

Pada tanggal 1 Mei 1925, Perkuburan Baqi’ telah dimusnahkan atas arahan Raja Abdul Aziz al-Saud dan ulama-ulama Mazhab Wahabbi. Ulama-ulama Wahabbi yang berpegang teguh dengan prinsip anti-Bidaah itu memusnahkan seluruh moseleum, kubah dan struktur binaan di Perkuburan Baqi’. Tindakan yang disifatkan mereka sebagai ‘penyucian daripada khurafat dan bidaah’ sebenarnya menyahut pegangan mazhab Wahabbi yang melarang sebarang struktur dibina di atas makam.

Tindakan ulama-ulama Wahabbi dan Raja Abdul Aziz ini dianggap melampau dan keterlaluan oleh sesetengah pihak terutama puak Syiah. Puak Syiah menyifatkan tindakan ulama Wahabbi meruntuhkan dan meratakan kesemua binaan Ahlul Bait seperti makam Fatimah binti Muhammad, Masjid Fatimah, Rumah Rasulullah saw di Mekah, makam Bani Hasyim di Mekah, Mesoleum dan rumah Imam pertama Syiah, Imam Jaafar al-Sadiq dan banyak lagi adalah melampau dan sangat keterlaluan. Mereka mengingati peristiwa ini sebagai Yaumi Gham atau Hari Kesedihan.



Rasional

Sebenarnya, tindakan ulama-ulama Wahabbi yang merata dan memusnahkan seluruh binaan di Perkuburan Baqi’ ada rasional dan nasnya. Ulama Wahabbi menggunakan beberapa hadis Rasulullah saw yang melarang sebarang binaan dan tulisan dicatatkan di kuburan.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri ra menceritakan;

“Sesungguhnya Nabi saw menegah dari membuat binaan di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).

Hadis yang lain turut menyatakan Rasulullah saw melarang daripada membina binaan di perkuburan.

“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, dari duduk di atasnya dan dari membuat binaan di atasnya” (Riwayat Imam Muslim ra dari Jabir ra).



Tindakan tegas ulama Wahabbi ini telah menyebabkan protes oleh puak Syiah yang sering mengunjungi beberapa tempat dan kuburan yang dianggap mereka sebagai suci seperti makam Fatimah, makam Imam Jaafar as-Sadiq, makam Ibnu Abbas, Qubbat’ al-Thanaya(makam gigi Rasulullah saw ditanam semasa Perang Uhud) dan beberapa lagi tempat lain.

Mereka sering berada di tempat tersebut untuk membayar nazar atau berdoa meminta berkat. Ia benar-benar menyalahi hukum syarak dan ini diambil oleh ulama Wahabbi sebagai punca kepada pemusnahan kesemua tempat-tempat suci pada pandangan mereka.

Harus dipuji kepada tindakan Wahabbi ini adalah mereka ternyata tidak pilih kasih kepada segala tindakan yang telah dibuat. Sebagai contoh, tanah perkuburan yang dikhaskan kepada keluarga diraja Raja Saudi iaitu Perkuburan Al-Oud, tiada satupun binaan mahupun tanda batu bertulis di perkuburan tersebut. Perkuburan Al-Oud berlainan dengan perkuburan-perkuburan diraja lain di dunia di mana perkuburan diraja lain dilengkapi dengan kubah dan moseleum yang mahal dan mewah seperti Taj Mahal, Perkuburan Diraja Adhamiya di Baghdad dan lain-lain.



Walaubagaimanapun, kontranya adalah umat Islam hari ini tidak mampu lagi untuk mengenali dan mengunjungi makam dan tempat-tempat mulia milik Rasulullah saw untuk dijadikan ikhtibar dan pedoman. Waallahualam..



Gambar-gambar di Perkuburan Baqi’

Di Perkuburan Baqi’, terdapat beberapa tempat yang sering dikunjungi kerana ia menempatkan makam para Ahlul Bait, isteri-isteri Rasulullah saw(kecuali Siti Khadijah binti Khuwailid kerana beliau dikuburkan di Jannatul Ma’ala), para sahabat besar, para tabien, para syuhada dan ulama-ulama salaf. Walaubagaimanapun, kubur tersebut tidak bertanda kerana telah dimusnahkan atas arahan Raja Saudi dan ulama-ulama Wahabbi.



Makam para Syuhada al-Hurrah

Perkuburuan ini menempatkan makam para Syuhada al-Hurrah. Para syuhada ini digelar sedemikian rupa adalah kerana mereka telah rebah syahid semasa tragedi al-Hurrah. Tragedi al-Hurrah adalah tragedi di mana Yazid bin Abi Sufyan telah mengarahkan bala tenteranya membunuh dan menghukum penduduk Madinah yang enggan memberi kerjasama terhadapnya. Kempen berdarah ini diketuai oleh Muslim bin Uqbah dan telah mengorbankan ramai sahabat dan golongan tabien. Kesemua mereka disemadi di Perkuburan Baqi’.



Makam Imam Malik ra dan Imam Nafi ra

Perkuburan ini menempatkan pengasas Mazhab Maliki iaitu Imam Malik bin Anas ra dan gurunya Imam Nafi ra. Nama sebenar Imam Nafi ra adalah Nafi’ bin Abdul Rahman bin Abi Na’im. Beliau yang dilahirkan sekitar 70H meninggal dunia pada 169H. Imam Nafi ra adalah antara guru pertama dalam bidang Qiraat dan al-Quran.


Makam Imam Malik ra.


Kuburan Imam Malik dan Imam Nafi yang berdekatan antara satu sama lain.



Makam Isteri-Isteri Nabi saw

Perkuburan ini menempatkan para isteri Nabi saw kecuali Siti Khadijah binti Khuwalid ra. Siti Khadijah binti Khuwalid ra disemadikan di Jannatul Ma’ala di Mekah. Sepertimana Perkuburan Baqi’, Jannatul Ma’ala turut diratakan oleh pemerintah Arab Saudi.


Makam isteri-isteri Nabi saw yang berjumlah 9 orang.



Makam Ahlul Bait

Perkuburan ini menempatkan tiga orang Ahlul Bait iaitu anak perempuan bongsu Rasulullah saw, Siti Fatimah, bapa saudara Rasulullah saw, Abbas bin Abi Mutallib dan cucu Rasulullah saw, Hasan bin Ali. Ketiga-tiga ahlul bait ini ditempatkan di satu sudut di belakang tembok setinggi 2 meter


Makam Abbas bin Abi Mutallib




Makam Siti Fatimah ra.




(1)Hasan bin ra, (2) Ali Zainal Abidin ra.(3) Muhammad al-Baqir ra dan (4) Jaafar al-Sadiq ra (5) Saidina Abbas ra



Makam Ibrahim, anak lelaki Rasulullah saw

Ibrahim adalah anak lelaki Rasulullah saw daripada isteri baginda, Maryam al-Qibtiah. Diriwayatkan bahawa Ibrahim disayangi Rasulullah saw dan memiliki rupa paras Rasulullah saw. Ibrahim meninggal dunia ketika berusia dua tahun. Pada masa itu, berlaku fenomena Gerhana Matahari dan ramai sahabat mengaitkan kejadian tersebut dengan kematian Ibrahim. Rasulullah saw menyangkalnya dan mengatakan ia adalah karut.


Makam Ibrahim



Perkuburan Baqi’ Al-Ammat


Makam yang paling kiri adalah makam Safiyyah binti Abdul Muthalib.Paling kanan adalah makam Ummul Baiza yang juga ibu saudara Rasulullah Saw. Berada di tengah adalah makam Atikah binti Abu Mutallib.



Berada di tengah-tengah komplek Perkuburan Baqi’ adalah makam Saidina Uthman bin Affan. Saidina Uthman adalah sahabat besar Rasulullah saw dan juga khalifah Islam ketiga selepas Abu Bakar as-Siddiq dan Umar bin Al-Khattab.


Makam Saidina Uthman bin Affan.



Di satu sudut yang lain pula, terdapat makam ibu susuan Rasulullah saw iaitu Halimahtul Saadiah, sepupu Rasulullah saw, Jaafar dan Uqail bin Abi Talib, ibu kepada Ali, Jaafar dan Uqail, Fatimah binti Assad, sahabat nabi saw, Abu Said al-Qudri ra dan Abu Sufyan ra serta ramai lagi.

Makam Halimahtul Saadiah

Halimahtul Saadiah merupakan ibu susuan kepada Nabi Muhammad saw. Beliau daripada suku Saad yang miskin. Diriwayatkan, sebelum Halimahtul Saadiah menyusu junjungan besar kita ini, susu Halimahtul Saadiah hampir kering. Namun, selepas menyusu, susunya mula banyak sehingga mampu menyusu anak sendiri sehingga kenyang.


Makam ibu susu kesayangan nabi saw, Halimatul Saadiah.



Jaafar bin Abi Talib

Jaafar bin Abi Talib atau nama gelarannya, Jaafar At-Tayyar meninggal dunia semasa mempertahankan pasukan Islam pada Perang Mu’tah. Jaafar digelar At-Tayyar kerana Rasulullah saw dikhabarkan oleh Allah swt bahawa Jaafar bin Abi Talib digantikan kedua-dua tangannya yang putus dengan sayap di syurga. Jaafar bin Abi Talib adalah abang kepada Ali bin Abi Talib.


Makam Jaafar bin Abi Talib.



Uqail bin Abi Talib

Uqail bin Abi Talib adalah sepupu kepada Rasulullah saw dan saudara kepada Jaafar dan Ali bin Abi Talib. Uqail turut berjuang bersama-sama abangnya di Perang Mu’tah menentang tentera Rom. Uqail meninggal dunia pada 686H pada usia yang cukup lanjut iaitu 96 tahun. Pada akhir usianya, Uqail mengalami kebutaan pada matanya.


Makam Uqail bin Abi Talib.



Fatimah binti Assad

Fatimah binti Assad adalah wanita mulia yang menjadikan Rasulullah saw sebagai anak angkatnya. Fatimah binti Assad adalah isteri kepada Abu Talib sekaligus ibu kepada tiga sahabat Rasulullah saw, Ali bin Abi Talib, Jaafar bin Abi Talib dan Uqail bin Abi Talib. Fatimah binti Assad meninggal dunia pada 626 masihi.


Makam Fatimah binti Assad yang sudah diratakan oleh pihak berkuasa.



kredit:http://takusahrisau.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan