Isnin, 31 Oktober 2011

Ziarah Makam Habib Noh

Tidak lengkap lawatan ke Singapura jika kita tidak menziarahi maqam salah seorang ulamak yang bertarap wali di Singapura ini.Ulama ini sangat berjasa kepada masyarakat bukan setakat di Singapura malah di Malaysia. Ulama ini berketurunan Rasulullah . Berikut saya paparkan kisah hidup beliau yang penuh dengan karamah kerana ketaatan beliau dan rapatnya beliau dengan Allah .
Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awal beliau. Beliau datang dari keluarga empat adik-beradik lelaki iaitu Habib Noh, Habib Ariffin dan Habib Zain (kedua-duanya meninggal di Pulau Pinang) dan Habib Salikin, yang meninggal di Daik, Indonesia. Dari perkahwinan beliau dengan Anchik Hamidah yang berasal dari Province Wellesley, Pulau Pinang, mereka dikurniakan hanya seorang anak perempuan bernama Sharifah Badaniah. Sharifah Badaniah kemudiannya berkahwin dengan Syed Mohamad bin Hassan Al-Shatri di Jelutong, Pulau Pinang. Pasangan ini kemudiannya memberikan Habib Noh hanya seorang cucu perempuan bernama Sharifah Rugayah. Dia berkahwin dengan Syed Alwi bin Ali Aljunied dan mereka mempunyai lima anak, dua lelaki dan tiga perempuan bernama Syed Abdul Rahman, Syed Abdullah, Syarifah Muznah, Sharifah Zainah dan Sharifah Zubaidah.

Dari banyak sumber, Habib Nuh sampai ke Singapura tidak lama setelah Sir Stamford Raffles mendarat di pulau itu. Usianya pada ketika itu ialah tiga puluhan tahun. Walaupun beliau telah menghabiskan saki-baki usianya di Singapura dan meninggal dunia di sana, beliau banyak berjalan, terutamanya ke Johor Bahru dan negeri-negeri lain di Malaysia untuk berdakwah. Beliau adalah seorang yang amat warak. Waktu malamnya beliau gunakan untuk solat hingga terbit fajar. Dan beliau kerap berkunjung ke makam-makam (tanah perkuburan), selalu mendoakan roh-roh yang telah meninggalkan jasad. Beliau sentiasa berjalan bersama-sama kawan-kawan rapat melainkan bila dia secara spesifik meminta untuk berseorangan diri.

Beliau amat digemari oleh semua peringkat umur, terutamanya kanak-kanak. Kerana itu tidaklah menghairankan jika ramai yang melihat berbagai-bagai karamah beliau. Beliau selalu membelikan gula-gula dan memberi wang kepada kanak-kanak, fakir miskin dan yang memerlukan. Sering orang bertemu Habib Noh dikelilingi oleh kanak2. Ini sesuatu yang ganjil. Kadang2 beliau singgah di kedai2 bersama kumpulan kanak2 dan kanak2 itu mengambil seberapa banyak makanan yang ada tanpa membayar apa2. Anehnya, tuan2 kedai tidak melarang perbuatan itu. kerana mereka yakin kedai mereka akan beroleh berkat jika dikunjungi Habib Noh bersama kumpulan kanak2 itu. ini terbukti, mana2 kedai orang Islam yang didatangi oleh Habib Noh bersama kanak2 itu, kemudiannya menjadi maju dan tidak putus2 dikunjungi pelanggan. Sayid Habib Nuh sayang kepada kanak2 kerana mereka adalah ahlul Jannah [ahli Syurga]. Kelakuan Sayid Habib Noh itu agak ganjil bagi seorang yang sudah tua. Memang itu merupakan di antara keganjilan Habib Noh, seorang yang mempunyai keistimewaan yang terlindung.

Beliau dikurniakan oleh Allah kebolehan untuk ghaib, dan dilihat kembali di tempat-tempat yang jauh. Ada yang memberitakan bahawa beliau telah dilihat sedang solat di Masjid Besar Makkah tanpa secara fizikalnya pergi ke sana. Pada satu masa, beliau pernah berkata kepada bakal haji bahawa mereka akan berjumpa di Makkah. Bila jemaah itu sampai di sana, dia telah disambut oleh Habib Noh sendiri.

Habib Noh juga terkenal sebagai tabib yang hebat, terutamanya ke atas kanak-kanak yang memang disukainya. Pernah beliau menyembuhkan seorang kanak-kanak yang cedera di kakinya dengan hanya meletakkan tangan-tangan beliau di atas luka itu dan membaca doa. Dalam masa yang singkat, kanak-kanak itu sudah boleh berlari semula seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku ke atasnya. Bapa kepada kanak-kanak itu amat gembira, dia telah memberikan wang kepada Habib Noh, tapi Habib Noh memberikan wang itu kepada yang memerlukan.

Habib Noh sanggup mengharungi ribut untuk pergi mengubati kanak-kanak yang sakit. Beliau pernah berjalan ke Paya Lebar dari rumah beliau di Telok Blangah ketika hujan lebat untuk mengubati seorang kanak-kanak. Bila beliau sampai di rumah kanak-kanak itu, ibubapa kanak-kanak itu terkejut melihat pakaian Habib Noh langsung tidak basah.

Dalam satu insiden lain, Habib Noh telah dikejutkan oleh tangisan berterusan anak jirannya. Bila beliau pergi ke sana, beliau dapati bahawa keluarga itu amat miskin dan tidak mampu membeli makanan untuk anak yang kelaparan itu. Beliau mengalirkan airmata bila mendengar cerita itu, lantas mengambil satu tempurung kelapa, menuangkan air ke dalamnya dan membaca doa. Dengan kehendak Allah, air itu bertukar menjadi susu untuk diminum oleh kanak-kanak tersebut.

As Sayid Habib Noh bersikap tidak menghormati orang2 yang angkuh dengan kekayaan atau jawatan duniawi. Begitulah, walaupun orang menghormatinya atau takut kepada Crawford, Gabenor Singapura ketika itu tetapi Habib Noh tidak takut kepada wakil penjajah itu.

Dalam satu peristiwa, Gabenor Crawford marah dan menghina Habib Noh kerana beliau tidak menghormatinya. Tiba2 sahaja kereta kuda yang dinaiki Gabenor itu terlekat di bumi dan tidak dapat bergerak. Gabenor naik marah an bertanyakan hal itu kepada pengiringnya. Tetapi pengiring itu bertanya kepada tuan gabenornya, “Tahukah tuan siapakah orang yang tuan marah dan hina itu?”

Gabenor menjawab, “Itu orang gila.”

“Sebenarnya dia bukan gila tetapi dia orang baik dan ada karamah. Lihat, bila tuan marah kepada dia, dia sumpah dan sekarang kereta tuan tidak dapat bergerak,” jelas pengiringnya.

Gabenor menjadi takut dan akhirnya meminta maaf dengan Habib Noh. Setelah Habib Noh menepuk2 kaki kuda itu, barulah kuda itu berjalan pantas seperti biasa. Sejak itu Gabenor sedar betapa As Sayid Habib Noh mempunyai kelebihan luar biasa.

Bagaimanapun, pada satu ketika Gabenor terus bersikap bongkak dan sombong dan memerintahkan orang2nya menangkap Habib Noh dan mengurung di dalam penjara dengan kaki dan tangannya dirantai. Tindakan keras ini diambil kerana As Sayid Habib Nuh tetap enggan menghormati wakil penjajah yang beragama Kristian itu. Anehnya, para pengawal penjara kemudian melihat Habib Noh di luar penjara. Tangan dan kakinya tidak dirantai. Walaupun ditangkap semula, dia tetap dapat keluar dan kelihatan seolah2 tidak ada apa2 yang berlaku padanya akhirnya beliau dibebaskan sepenuhnya.

Diceritakan lagi bahawa pada satu ketika ada seorang saudagar yang sedang dalam pelayaran ke Singapura. Dalam pelayaran, kapalnya telah dipukul ribut kencang. Dalam suasana cemas tersebut, saudagar itu berdoa kepada Allah agar diselamatkan kapalnya dari ribut tersebut dan dia bernazar jika sekiranya dia selamat sampai ke Singapura dia akan menghadiahkan kain kepada Habib Nuh. Alhamdulillah, dia dan dagangannya diselamatkan Allah dari keganasan ribut tersebut. Setibanya di Singapura, dia hairan kerana Habib Noh telah sedia menunggu kedatangannya di pelabuhan dan memintanya melaksanakan nazar yang telah dibuatnya di tengah laut itu.

Dalam satu peristiwa lain, ketika sebuah kapal hendak berlayar, muncul Habib Noh di perlabuhan. Habib Noh menahan barang2 yang berharga daripada dibawa bersama dalam pelayaran itu. Orang2 yang terlibat tidak senang dengan sikap beliau itu tetapi beliau tetap bertegas;

“Tidak boleh barang2 yang berharga itu dibawa.”

Setelah lama berbalah, akhirnya orang ramai terpaksa akur dengan kemahuan Habib Nuh itu dan pemilik barang2 tersebut tidak jadi mengirim barangnya dengan kapal itu.

Beberapa hari kemudian, penduduk Singapura mendapat berita bahawa kapal yang berlayar itu terbakar dan tenggelam di tengah lautan. Barulah tuan punya barang2 tersebut sedar hikmah disebalik larangan Habib Noh itu. Beliau bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT.

Pada satu masa seorang India Muslim balik ke India mengikut jalan laut untuk melawat keluarganya. Dia telah berniat bahawa jika dia kembali ke Singapura dengan selamat, dia akan menghadiahkan kepada Habib Noh satu hadiah. Bila dia pulang, dia terkejut bila melihat Habib Noh sudah sedia menunggunya di tepi laut.

Habib Noh kata kepadanya “Saya percaya bahawa awak sudah berjanji untuk memberikan sesuatu kepada saya.” Terkejut, India Muslim itu berkata, “Katakan kepada saya wahai tuan yang bijaksana, apakah yang tuan hajati dan saya akan dengan senang hati menghadiahkan kepada tuan.”

Habib Noh menjawab, “Saya mahukan beberapa gulung kain kuning untuk bersedekah kepada orang miskin, yang memerlukannya dan kanak-kanak.”

Sambil memeluk Habib Noh, India Muslim itu berkata, “Demi Allah, saya amat gembira untuk menghadiahkan kepada seorang lelaki yang dirahmati Allah kerana baik budinya terhadap umat manusia. Berilah pada saya tiga hari untuk menghadiahkannya kepada tuan.”

Setelah 78 tahun mengabdikan diri beliau kepada Islam, Habib Noh telah pulang ke rahmatullah pada hari Jumaat, 27 Julai 1866 bersamaan dengan 14 Rabiul Awal 1283. Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memberikan banyak nasihat kepada kawan-kawan setianya. Antara mutiara kata beliau ialah “Jangan jadi tamak terhadap harta dunia dan jangan punya perasaan hasad-dengki (dan sebarang perasaan negatif) terhadap sesiapa sepanjang hidup anda.”

Habib Noh menghembuskan nafasnya yang terakhir di Telok Blangah, di kediaman Temenggong Abu Bakar, Johor. Bila berita itu tersebar, ramai orang dari berbagai peringkat, termasuk orang-orang Inggeris yang telah masuk Islam melalui Habib Noh, dan mereka yang berada di kepulauan-kepulauan berhampiran telah datang untuk menziarahi beliau. Semua kereta kuda yang ada di Singapura memberhentikan aktiviti harian untuk membawa pengunjung-pengunjung itu dengan percuma. Tapi sejurus sebelum rombongan jenazah itu meninggalkan rumah Temenggong ke tanah perkuburan, satu fenomena ganjil telah berlaku.

Sebelum meninggal, Habib Noh telah berpesan kepada kawan-kawannya agar jenazah beliau dikebumikan di Mount Palmer, yang merupakan tanah perkuburan kecil pada masa itu. Walau bagaimana pun pada hari beliau meninggal, setiap orang telah lupa mengenai pesan itu dan mereka semua bersedia untuk menuju ke tanah perkuburan Bidadari Muslim. Bila sampai masanya untuk mengangkat keranda, ia tidak berganjak dari atas tanah. Tidak ada seorang pun terdaya mengangkatnya. Sekitaran jadi kelam kabut, dan hampir setiap orang menangis melihat keranda itu tidak berganjak walaupun cuba diangkat oleh lelaki-lelaki yang gagah.

Nasib baik, seseorang akhirnya teringat pada pesan Habib Noh dan telah tampil menceritakan hal yang sebenarnya kepada setiap orang. Setiap orang sedar bahawa mereka telah lupa pesanan itu lantas memutuskan untuk bergerak ke Mount Palmer. Dengan kehendak Allah, keranda itu boleh diangkat dengan mudah dan laungan Allahu Akbar! bergema. Maka jenazah Habib Noh telah selamat dikebumikan di Mount Palmer.

Karamah beliau tidak habis di situ saja. Semasa Perang Dunia Kedua, bila Telok Blangah dibom dengan hebatnya oleh Jepun, tidak ada satu bom pun singgah di pusara Habib Noh. Dan bila kerajaan Singapura mahu membina satu jalanraya di Tanjung Pagar, jembatan telah direkabentuk untuk membengkok melengkarinya, tingginya hampir sama dengan kedudukan Makam Habib Noh. Hampir mustahil jika seorang pemandu kereta tidak nampak makam ini. Kini semua orang boleh menziarah makam ini tanpa perlu memanjat 49 tangga untuk ke sana.

Banyak lagi kejadian aneh yang dihubungkan kepada karamah Habib Noh ini. Walau apa pun khawariqul adah yang berlaku pada dirinya, maka itu bukanlah tuntutan kita. Yang pasti, sejarah telah menyaksikan bahawa Habib Noh al-Habsyi adalah seorang sholeh yang taat kepada ajaran Islam. Apa yang kita citakan ialah agar dapat mencontohi jejak langkah beliau dalam menuruti perjalanan para leluhurnya sambung-menyambung sehingga ke hadhrat Junjungan Nabi s.a.w. Mahabbah kepada para sholihin adalah dituntut dan ingat seseorang itu nanti akan berada bersama orang yang dikasihinya. Sesungguhnya istiqamah atas agama itu lebih baik daripada 1000 kekeramatan mencarik adat. Karamah maknawi itu lebih bermakna dari karamah hissi. Mudah-mudahan keberkatan Habib Noh al-Habsyi mengalir terus kepada kita dan anak keturunan kita, keberkatan yang dengan sebabnya diharap Allah memandang kita dengan pandangan rahmat dan kasih sayangNya. Mari kita hadiahkan al-Fatihah kepada wali Allah ini.....al-Fatihah.

Sumber:
Tujuh Wali Melayu
Sheikh Hassan Abdullah Al-Khatib, penjaga makam Habib Noh


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan